
Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan menimbangkan pembentukan dua aplikasi perdana MSC Malaysia yang baru iaitu pertanian dan pengurusan sumber tenaga yang boleh memainkan peranan utama untuk menggalakkan inovasi.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat tertutup dengan anggota Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) di Kuala Lumpur, yang diadakan sempena Kongres Dunia Teknologi Maklumat (WCIT 2008) ke-16 bermula 18 hingga 22 Mei ini.
“Mesyuarat IAP MSC juga mengiktiraf IT dan bioteknologi boleh memberikan sumbangan besar menangani masalah berkaitan kekurangan makanan global dan peningkatan kos sumber tenaga,” katanya.
Abdullah berkata, inovasi perlu menjadi sebahagian dari budaya negara dan sebab itulah kerajaan perlu terus melabur dalam komponen utama infrastruktur bagi menyokong inovasi termasuk mewujudkan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Anggota IAP MSC Malaysia menyarankan supaya Malaysia mengambil kesempatan daripada inovasi bagi mewujudkan kekayaan.”
“Inovasi ialah kunci mewujudkan kemakmuran masa depan Malaysia dan negara ini tiada pilihan tetapi untuk menerima inovasi dalam semua sektor ekonomi bagi mencapai daya saing global,” katanya.
Menurut Abdullah, kerajaan perlu menjadi penerima pakai aktif inovasi selain mewujudkan sistem eko yang betul bagi pelaksanaan inovasi.
“Budaya peribadi dan belia yang memberikan perhatian kepada peranti mudah alih menawarkan peluang mewujudkan inovasi dan perlu dieksploitasi bagi pembangunan industri ICT tempatan,” katanya.
Bagi menempatkan Malaysia sebagai hab multimedia kreatif yang bernilai tinggi, Abdullah berkata mekanisme insentif yang mencukupi diperlukan untuk memudahkan jalinan kerja sama dengan pemain utama global melalui pengeluaran bersama dan pemilikan bersama IP (Harta Intelek).
Abdullah berkata Malaysia juga merancang untuk melancarkan bandar raya siber dan pusat siber MSC Malaysia di seluruh negara untuk menghubungkan perbezaan digital dan mengembangkan ICT ke seluruh negara.
Katanya sejak pelancaran MSC Malaysia di Cyberjaya 12 tahun lalu, Malaysia mempunyai 13 bandar raya siber dan pusat siber di lokasi lain.
Cyberjaya akan terus dimajukan sebagai hab ICT negara dan dengan kewujudan lokasi baru, lebih ramai orang akan mendapat manfaat daripada ICT bagi merubah kehidupan kesemua rakyat Malaysia.