PERSPEKTIFNYA yang memberi penyelesaian kepada pengguna dan bukan sekadar rupa bentuk, membolehkan BenQ memenangi Anugerah Red Dot 2008: Reka Cipta Produk.
Pengiktirafan yang diterima daripada Essen Design Zentrum Nordrhein Westfalen menjulang BenQ dengan enam anugerah produk rekaan gaya hidup digital.
Ketua Pegawai Rekaan BenQ, Manfred Wang, berkata BenQ menerima lebih 200 pengiktirafan rekaan daripada beberapa jawatankuasa rekaan antarabangsa yang paling berprestij di dunia sejak penubuhannya pada 2001.
“Potensi rekaan kami akan terus dicungkil dan digabungkan dengan teknologi moden Barat untuk mencipta produk yang membawa kepuasan dan keseronokan kepada pengguna seperti mana gaya hidup hari ini”, katanya.
Enam rekaan BenQ yang memenangi anugerah itu ialah monitor LCD (V2400W), telefon bimbit (T60), projektor poket P1 dan MP512 fungsi silang), kamera digital (DC C750) dan televisyen LCD (V37).
Anugerah reka cipta produk red dot mengiktiraf penerimanya dengan reputasi dan sanjungan global bagi rekaan yang inovatif, kualiti yang bagus dan fungsi yang luar biasa.
Ia menarik sejumlah 3,203 produk dari 51 negara. Ciri ergonomik dan keserasian ekologi antara kriteria produk yang perlu dinilai. Hanya produk paling kreatif dan inovatif saja layak dinobat sebagai pemenang.