Friday, June 6, 2008

X4550 peranti AIO bijak

MANA yang menjadi pilihan anda, pencetak satu fungsi atau semua dalam satu (AIO)?

Ruang it@Metro mengenengahkan peranti AIO keluaran Lexmark model X4550 yang mungkin secocok untuk dikongsi bersama bagi kegunaan pejabat kecil atau rumah memandangkan ia memiliki keupayaan tanpa wayar.

Tak perlu lagi kabel berselerak yang membantutkan idea kepala, cukup satu AIO untuk ciri semua dalam satu yang ditawarkannya termasuk mod salinan, imbasan, cetakan dan kad foto.

Bagi kelengkapan pencetak yang dilengkapi dengan teknologi tanpa wayar dan sambungan USB, ia adalah antara model Lexmark terkini yang menawarkan pelbagai fungsi pada kadar pemilikan rendah.

Antaramuka

Antaramuka X4550 cukup mudah dengan dua slot kad memori pelbagai, soket PictBridge di sebelah kanannya.

Soket PicBridge menawarkan ciri moden untuk mencetak gambar menerusi kamera adalah kelebihan utama mesin ini.

Bukan saja memiliki sambungan USB, model X4550 turut mempunyai kabel sambungan kuasa elektrik di bahagian belakangnya.

Keupayaan tanpa wayar 802.11 b/g amat memudahkan bermakna pengguna yang berada di berjauhan peranti AIO ini pun mampu menghantar dokumen untuk dicetak.

Bagi ciri sambungan tanpa wayar pula, pemilik pencetak itu perlu melakukan proses penetapan yang mudah untuk dilakukan. Ia memaparkan warna jingga bagi menandakan ia berfungsi, tetapi bertukar berwarna hijau apabila mengesan gerbang tanpa wayar.

Rekaan

Tak lari daripada kebanyakan produk pencetak lain di pasaran, X4550 mengekalkan warna asas kelabu dan putih pada penampilannya.

Reka bentuk segi empat tentu sekali memudahkan cetakan manakala saiznya tidaklah terlalu besar untuk dimuatkan pada ruang yang agak sempit.

Cetakan

Prestasi ditawarkan peranti AIO ini cukup untuk menghasilkan kualiti cetakan namun ia tidaklah yang terbaik bagi penulis berdasarkan proses kelajuan cetakan yang ditawarkan.

Kelajuan cetakan mencatatkan hampir lapan muka surat seminit (ppm) bagi teks hitam, satu ppm untuk kertas berwarna warna dan setengah ppm untuk cetakan foto 4R.

Berdasarkan maklumat yang disediakan Lexmark, model X4550 itu menyediakan kapasiti penggunaan hasil cetakan sehingga 550 muka surat menggunakan mod standard daripada katrij versi 23.

Manakala antara 185 dan 500 muka surat warna untuk cetakan daripada katrij 23 dan 35 kelengkapan itu.

Mencetak menggunakan sambungan WiFi yang disediakan mungkin perkara yang menarik malangnya terdapat sedikit masalah teknikal apabila X4550 kadangkala tidak dapat mengesan penghantaran dokumen yang dihantar walaupun pada jarak berpatutan.

Paparan

Paparan butang yang ditempatkan pada panel tengah pencetak itu adalah ringkas dan mudah difahami terutama kepada pengguna baru.

Lebih unik lagi ia turut disediakan dengan panel pelbagai bahasa yang boleh ditukar untuk pengguna yang berlainan bangsa.

Malah, antara ciri utama paparan butangnya termasuk fungsi pemilihan tugasan pada asas warna ataupun hitam putih.

Pengendalian setiap fungsi bagi pencetak itu boleh dilihat menerusi maklumat digital yang dipaparkan pada skrin LCD X4550.

Penilaian

Membeli peranti AIO ini cukup bagus namun harga katrij bakal menjadi persoalan jika dibandingkan dengan produk lain.

Justeru inisiatif perlu diambil bagi memastikan ia mampu milik bukan hanya untuk kegunaan biasa, tetapi menjadi perkongsian bijak seisi keluarga.

Aspek pengendalian mesra pelanggan pencetak itu pula menjadikannya antara pencetak semua dalam satu kompak yang mudah untuk dikendalikan.



Spesifikasi

DIMENSI: 452.1 x 325.1 x 177.8 milimeter (mm)

BERAT: 2.7 kilogram

PEMBACA KAD: CompactFlash jenis I, CompactFlash jenis II, Secure Digital, mini- SD, kad gambar-xD, Memory Stick, Memory Stick PRO, Memory Stick DUO, pemacu mikro, kad multimedia.

KELAJUAN CETAKAN: 26 ppm (hitam putih) 18 ppm (warna)

KELAJUAN IMBASAN: 16 bait (hitam putih) 48 bait (warna)

KELAJUAN SALINAN: 17 (hitam putih dan warna)

HARGA: RM549

PRODUK: Lexmark X4550

PENGELUAR: Lexmark International Inc

PERTANYAAN: Lexmark Customer Support Center

TELEFON: (800) 539-6275

LAMAN WEB: www.lexmark.com
 
ss_blog_claim=1fad070c48a293c89160a9084ca65cc0